Monday, September 22, 2008

PESANAN AYAHANDA PENGARAH KEPADA CALON PMR DAN SPM 2008

Ke hadapan anakanda yang dikasihi, calon PMR dan SPM Negeri Johor dengan iringan doa semoga dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus tekun menuntut ilmu pengetahuan hingga ke akhir hayat.
Tujuan ayahanda Pengarah mengirim warkah ini, sebagai tanda kebersamaan ayahanda pengarah, Pegawai-pegawai Pelajaran Daerah, Guru Besar dan guru-guru serta Yand Dipertua dan Ahli Jawatankuasa PIBG, dalam usaha ankanda sekalian mengejar cita-cita pada hari muka. Bagi kami, anakanda sekalian adalah sebutir benih yang sentiasa dibaja, disiram dan dipelihara bagai menatang minyak yang penuh, agar apabila dewasa nanti akan mengakar dan merimbun.
Anakanda sekalian,
Kejayaan anakanda menggapai cita-cita pada masa akan datang, bergantung kepada usaha yang anakanda lakukan dalam bidang pelajaran pada hari ini. Justeru itu, ketekunan anakanda dalam menelaah pelajaran sangat dituntut. Bak kata pepatah;
Alang-alang mengaji, biar sampai khatam
Alang-alang menanam, biar sampai menuai
Alang-alang berjalan, biar sampai menjadi alim
Walaupun ketika ini masa semakin suntuk, namun masa yang berbaki perlu digunakan sepenuhnya. Jangan sesekali masa yang tinggal dibiarkan begitu sahaja. Gunakan setiap kesempatan yang ada untuk membuat rujukan daripada buku-buku di perpustakaan dan berbincang bersama teman-teman seperjuangan untuk memastikan segala fakta dan maklumat yang diperoleh komprehensif. Seterusnya, usah lupa bertanya kepada guru-guru untuk merungkai kekeliruan yang timbul. Hal ini perlu dilakukan bagi mengelakkan tekanan menjelang peperiksaan.
Di samping itu, kesihatan dan keselamatan diri perlu sentiasa diberi keutamaan. Hal ini sebab, setelah sekian lama anakanda berhempas pulas, menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran, maka besar harapan ayahanda Pengarah, pada saat akhir, anakanda akan menduduki peperiksaan, kesihatan anakanda berada pada tahap yang terbaik. Selai itu, suka ayahanda Pengarah berpesan, dapatkanlah restu daripada ayah dan bonda serta guru-guru. Kemudian sentiasalah berdoa, semoga segalanya dipermudahkan. Ayahanda Pengarah mendoakan;
Yang busut hendaknya menjadi bukit
Yang bukit menjadi gunung
Sepuncak menjadi seguni
Secupak menjadi segantang
Sebuntil menjadi sekepuk
Sekuali menjadi sekawah
Anakanda yang dikasihi,
Sebelum ayahanda mengakhiri warkah ini, hendaknya anakanda sentiasa tenang dan tabah menghadapi peperiksaan PMR dan SPM. Ingatlah, walaupun masa telah begitu singkat tetapi anakanda masih sempat untuk mengatur langkah teratur menuju kejayaan. Berjanjilah kepada ayahanda, untuk encapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan kelak dan bersama-sama mengukir gemilang "Johor Top 5".
Akhir kata, doa ayahanda sentiasa mengiringi usaha gigih anakanda sekalian.
"Selamat menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Semoga Berjaya"

Daripada Ayahanda

(HJ. SUFA'AT BIN TUMIN)

Pengarah Pelajaran Johor

1 comment:

ahadancoach said...

Satu lagi tambahan dari Abg Bro buat adik-adik yang mengenali dan yang akan menghadapi saat bermulanya kecemerlang dimasa hadapan kerana keputusan adik hari ini akan menentukan kehidupan adik-adik pada masa hadapan:-

1.D=Doa
2.U=Usaha
3.I=Istiqamah
4.T=Tawakal